Tuesday, May 10, 2011

.....Read REID

  
ARTIKEL 153

Perizaban kuota berkenaan dengan perkhidmatan, permit, dsb. bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak.

(1) Menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan Perkara ini.

(2) Walau apa pun apa-apa jua dalam Perlembagaan ini, tetapi tertakluk kepada peruntukan Perkara 40 dan peruntukan Perkara ini, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menjalnakan fungsinya di bawah Perlembagaan ini dan undang-undang persekutuan mengikut apa-apa cara yang perlu untuk meindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan untuk memastikan perizaban bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak apa-apa perkadaran yang difikirkan munasabah oleh Yang di-Pertuan Agong daripada jawatan dalam perkhidmatan awam (selain perkhidmatan awam sesuatu Negeri) dan daripada biasiswa, danasiswa dan keistimewaan pendidikan atau latihan yang seumpamanya atau kemudahan khas lain yang diberikan atau diadakan oleh Kerajaan Persekutuan dan, apabila apa-apa permit atau lesen dikehendaki oleh undang-undang persekutuan bagi mengendalikan apa-apa pertukangan atau perniagaan, maka, tertakluk kepada peruntukan undang-undang itu dan Perkara ini, daripada permit dan lesen itu.

(3) Yang di-Pertuan Agong boleh, bagi memastikan, mengikut Fasal (2), perizaban bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak jawatan-jawatan dalam perkhidmatan awam dan biasiswa, danasiswa dan keistimewaan pendidikan atau latihan atau kemudahan khas lain, memberikan apa-apa arahan am yang dikehendaki bagi maksud itu kepada mana-mana Suruhanjaya yang baginya Bahagian X terpakai atau kepada mana-mana pihak berkuasa yang dipertanggungkan dengan tanggungjawab bagi pemberian biasiswa, danasiswa atau keistimewaan pendidikan atau latihan atau kemudahan khas lain itu; dan Suruhanjaya atau pihak berkuasa itu hendaklah mematuhi arahan itu dengan sewajarnya.

(4) Pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini dan undang-undang persekutuan mengikut Fasal (1) hingga (3) Yang di-Pertuan Agong tidak boleh melucutkan mana-mana orang daripada apa-apa jawatan awam yang dipegang olehnya atau daripada terus mendapat biasiswa, danasiswa atau keistimewaan pendidikan atau latihan atau kemudahan khas lain yang dinikmati olehnya.

(5) Perkara ini tidaklah mengurangkan peruntukan Perkara 136.

(6) Jika menurut undang-undang persekutuan yang sedia ada suatu permit atau lesen dikehendaki bagi mengendalikan apa-apa pertukangan atau perniagaan, maka Yang di-Pertuan Agong boleh menjalankan fungsinya di bawah undang-undang itu mengikut apa-apa cara, atau memberikan apa-apa arahan am kepada mana-mana pihak berkuasa yang dipertanggungkan di bawah undang-undang itu dengan pemberian permit atau lesen itu, sebagaimana yang dikehendaki untuk memastikan perizaban apa-apa perkadaran daripada permit atau lesen itu bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak sebagaimana yang difikirkan munasabah oleh Yang di-Pertuan Agong; dan pihak berkuasa itu hendaklaah mematuhi arahan itu dengan sewajarnya.

(7) Tiada apa-apa jua dalam Perkara ini boleh berkuat kuasa untuk melucutkan atau memberi kuasa supaya dilucutkan apa-apa hak, keistimewaan, permit atau lesen mana-mana orang, yang terakru kepada orang itu atau yang dinikmati atau dipegang oleh orang itu atau untuk memberi kuasa untuk menolak pembaharuan mana-mana permit atau lesen mana-mana orang atau untuk menolak pemberian apa-apa permit atau lesen kepada waris, pengganti atau penerima serah hak seseorang jika pembaharuan atau pemberian itu mungkin semunasabahnya dijangkakan mengikut perjalanan biasa keadaan.

(8) Walau apa pun apa-apa jua dalam Perlembagaan ini, jika menurut mana-mana undang-undang persekutuan apa-apa permit atau lesen dikehendaki bagi mengendalikan apa-apa pertukangan atau perniagaan, maka undang-undang itu boleh membuat peruntukan bagi perizaban apa-apa perkadaran daripada permit atau lesen itu bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak; tetapi tiada undang-undang sedemikian boleh, bagi maksud memastikan perizaban itu—

(a) melucutkan atau memberi kuasa supaya dilucutkan apa-apa hak, keistimewaan, permit atau lesen mana-mana orang, yang terakru kepada orang itu atau yang dinikmati atau dipegang oleh orang itu; atau

(b) memberi kuasa untuk menolak pembaharuan mana-mana permit atau lesen mana-manaa orang atau untuk menolak pemberian apa-apa permit atau lesen kepada waris, pengganti atau penerima serah hak mana-mana orang jika pembaharuan atau pemberian itu mengikut peruntukan yang lain dalam undang-undang itu mungkin semunasabahnya dijangkakan mengikut perjalanan biasa keadaan, atau menghalang mana-mana orang daripada memindahkan hakmilik bersama dengan perniagaannya apa-apa lesen yang boleh dipindahkan hakmiliknya untuk mengendalikan perniagaan itu; atau

(c) jika tiada permit atau lesen dahuluya dikehendaki bagi mengendalikan pertukangan atau perniagaan itu, memberi kuasa untuk menolak pemberian permit atau lesen kepada mana-mana orang bagi mengendalikan apa-apa pertukangan atau perniagaan yang telah dijalankan olehnya secara bona fide sebaik sebelum undang-undang itu mula berkuat kuasa, atau memberi kuasa untuk menolak pembaharuan kemudiannya mana-mana permit atau lesen mana-mana orang, atau untuk menolak pemberian mana-mana permit atau lesen sedemikian kepada waris, pengganti atau penerima serah hak mana-mana orang itu jika, mengikut peruntukan yang lain dalam undang-undang itu, pembaharuan atau pemberian itu mungkin semunasabahnya dijangkakan mengikut perjalanan biasa keadaan.

(8A) Walau apa pun apa-apa jua dalam Perlembagaan ini, jika di dalam mana-mana Universiti, Kolej dan institusi pendidikan lain yang memberikan pendidikan selepas Malaysian Certificate of Education atau yang setaraf dengannya, bilangan tempat yang ditawarkan oleh pihak berkuasa yang bertanggungjawab bagi pengurusan Universiti, Kolej atau institusi pendidikan itu kepada calon-calon bagi apa-apa kursus pengajian adalah kurang daripada bilangan calon yang layak mendapat tempat-tempat itu, maka adalah sah bagi Yang di-Pertuan Agong menurut kuasa Perkara ini memberikan apa-apa arahan yang perlu kepada pihak berkuasa itu untuk memastikan perizaban apa-apa perkadaran daripada tempat-tempat itu bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak sebagaimana yang difikirkan munasabah oleh Yang di-Pertuan Agong; dan pihak berkuasa itu hendaklah mematuhi arahan itu dengan sewajarnya.

(9) Tiada apa-apa jua dalam Perkara ini boleh memberi Parlimen kuasa untuk menyekat perniagaan atau pertukangan semata-mata bagi maksud perizaban bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak.

(9A) Dalam Perkara ini ungkapan “anak negeri” berhubung dengan Negeri Sabah atau Sarawak hendaklah mempunyai erti yang diberikan kepadanya dalam Perkara 161A.

(10) Perlembagaan Negeri yang ber-Raja boleh membuat peruntukan yang bersamaan (dengan ubah suaian yang perlu) dengan peruntukan Perkara ini.

Terdapat perbezaan ketara di antara artikel 153 perlembagaan Malaysia dengan artikel 153 perlembagaan Singapura yang masing-masing menyebut mengenai hak istimewa orang Melayu. Artikel 153 (Malaysia) lebih spesifik dengan menjelaskan bagaimana hak-hak orang Melayu dan Bumiputra Malaysia dipertahankan.

Ketuanan Melayu
Ketuanan Melayu ialah konsep perkauman yang mendakwa bahawa orang Melayu adalah tuan kepada Persekutuan Tanah Melayu (sekarang) Malaysia . Orang Cina dan India di Malaysia yang dianggap sebagai pendatang (yang dibawa masuk oleh British) disifatkan terhutang budi kepada orang Melayu kerana kesanggupan dan kesediaan orang Melayu menerima mereka sebagai warganegara Persekutuan Tanah Melayu (sekarang) Malaysia sebagai prasyarat British memberikan kemerdekaan kepada Persekutuan Tanah Melayu. Sebagai timbal balik kerana kesanggupan dan kesediaan apa yang disifatkan sebagai pengorbanan orang Melayu itu, perlembagaan memberi peruntukan khas kepada orang Melayu dalam bentuk hak istimewa dan ini dimaktubkan di dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu (sekarang) Malaysia). Persetujuan quid pro quo atau saling beri-memberi ini biasanya dipanggil Kontrak Sosial. Konsep Ketuanan Melayu ini sering kali dijadikan retorik ahli politik Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu yang berpengaruh semenjak 50 tahun Persekutuan Tanah Melayu (sekarang Malaysia) mencapai kemerdekaannya dari British sebagai usaha meraih sokongan orang Melayu walaupun pada hakikatnya tidak ramai orang Melayu yang arif tentang konsep atau fahaman ini.

Perlembagaan Malaysia tidak merujuk kepada sebuah “kontrak sosial” (dari segi hak kewarganegaraan dan hak istimewa) secara ketara, dan tidak terdapat sebarang undang-undang atau dokumen yang pernah menjelaskan syarat-syarat kontrak sosial secara penuh. Pembela-pembelanya sering merujuk kepada Perlembagaan sebagai mengemukakan kontrak sosial, dan bapa-bapa kemerdekaaan juga bersetuju dengannya, walaupun rujukan kepada kontrak sosial tidak dibuat dalam Perlembagaan. Sebaliknya, kontrak sosial biasanya dianggap sebagai suatu persetujuan yang memberikan kewarganegaraan kepada orang-orang bukan Melayu dan bukan orang asli (kebanyakannya orang Malaysia Cina dan Malaysia India) sebagai ganti untuk pemberian hak keistimewaan kepada orang-orang Melayu dan orang-orang asli (dirujuk secara kolektif sebagai Bumiputera). Sebuah buku teks kajian Malaysia pendidikan tinggi yang menepati sukatan pelajaran kerajaan mengatakan: “Oleh sebab pemimpin-pemimpin Melayu bersetuju untuk melonggarkan syarat-syarat kewarganegaraan, pemimpin-pemimpin komuniti Cina dan India telah menerima kedudukan istimewa Melayu sebagai penduduk asli Malaya. Dengan penubuhan Malaysia, status kedudukan istimewa itu diperluas untuk merangkumi komuniti-komuniti penduduk asli Sabah dan Sarawak.” [1]

Perlembagaan secara ketara memberikan tanah rizab Bumiputera, kuota dalam perkhidmatan awam, biasiswa dan pendidikan awam, kuota untuk lesen perniagaan, dan kebenaran untuk memonopoli industri-industri yang tertentu, jika kerajaan membenarkan. Bagaimanapun pada hakikatnya, khususunya selepas pengenalan Dasar Ekonomi Baru Malaysia (NEP), akibat rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 ketika kaum Melayu hanya memiliki 4% daripada ekonomi Malaysia, hak-hak istimewa Bumiputera diperluas kepada bidang-bidang yang lain; kuota-kuota ditentukan untuk ekuiti Bumiputera dalam perbadanan awam, dan diskaun-diskaun sebanyak 5% hingga 15% untuk membeli kereta dan harta tanah diberikan.

Setengah-setengah orang mengatakan bahawa kecondongan terhadap orang-orang Melayu dalam pendidikan dan politik sebahagiannya merupakan tindak balas terhadap keupayaan orang-orang Malaysia Cina untuk memperoleh kebanyakan kekayaan negara itu. Bagaimanapaun, orang-orang Malaysia India boleh mengemukakan hujah bahawa merekalah yang mengalami kerugian yang paling banyak, walaupun ini boleh dipertikaikan.
Suruhanjaya Reid yang menyediakan kerangka Perlembagaan menyatakan dalam laporannya bahawa Perkara 153, tulang belakang kontrak sosial, adalah bersifat sementara, dan menyesyorkan bahawa ia dikaji semula 15 tahun selepas kemerdekaan. Suruhanjaya juga menyatakan bahawa perkara itu dan peruntukan-peruntukannya hanya diperlukan untuk mengelakkan keadaan tiba-tiba yang tidak menguntungkan kepada orang-orang Melayu dalam persaingan dengan ahli-ahli masyarakat Malaysia yang lain, dan hak-hak istimewa yang diberikan kepada orang-orang Melayu oleh perkara itu harus dikurangkan secara beransur-ansur dan akhirnya dihapuskan. Bagaimanapun, disebabkan Peristiwa 13 Mei yang menyebabkan pengisytiharan darurat, tahun 1972 yang merupakan tahun kajian semula Perkara 153 berlangsung tanpa sebarang peristiwa.

Tunku Abdul Rahman (Perdana Menteri Malaysia pertama) menyatakan bahawa “…apabila kami (orang-orang Melayu) menentang Malayan Union (yang menjejaskan kedudukan hak-hak orang Melayu), kaum-kaum lain tidak mengambil bahagian kerana mereka mengatakan ini hanya merupakan masalah Melayu, dan bukan masalah mereka. Mereka juga menunjukkan bahawa kesetiaan mereka adalah kepada negara-negara asal mereka dan oleh itu, menentang Laporan Barnes yang bertujuan untuk menjadikan bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan. Jika kami menyerahkan orang-orang Melayu kepada orang-orang yang dikatakan orang Malaya ketika kerakyatan mereka masih belum ditakrifkan, kami akan menghadapi banyak masalah pada masa hadapan.” Bagaimanapun, dia menambah bahawa “Bagi mereka yang mencintai dan berasa bahawa mereka terhutang kesetiaan yang tidak berbelah bagi, kami menyambut mereka sebagai orang Malaya. Mereka harus merupakan orang Malaya yang benar, dan mereka akan mempunyai hak-hak dan hak-hak istimewa yang sama dengan orang-orang Melayu.”

Adakah adil sekiranya kita membiarkan konsep Ketuanan Melayu ini dihapuskan dan diganti dengan konsep Ketuanan Rakyat (sedangkan Ketuanan Melayu juga adalah sama kecuali penekanan yang lebih diberikan kepada orang Melayu) yang belum terbukti lagi menjamin masa depan orang Melayu? Adilkah sekiranya anak-anak kita terpaksa mengharungi keperitan untuk ‘survive’ di masa hadapan sedangkan kita telah membesar dengan agak selesa sehingga apa yang kita kecapi setakat hari ini adalah hasil dari konsep Ketuanan Melayu. Adakah anda lebih gemar konsep Ketuanan Melayu ini digugurkan dan digantikan dengan konsep Malaysian Malaysia atau konsep Ketuanan Rakyat???Tepuk dada, akses minda!!!

Terkini:
Istilah “Ketuanan Melayu” perlu dilihat dalam konteks perjuangan orang Melayu sebelum merdeka yang menganggap Semenenjung Tanah Melayu sebagai tanah pusaka (sons of the soil) seperti yang diakui oleh pihak penjajah British ketika itu. Istilah ini juga merujuk kepada situasi sebelum merdeka yang menjelaskan reaksi orang Melayu terhadap penubuhan Malayan Union yang telah menghapuskan “Ketuanan Melayu” dari segi kedaulatan, kuasa politik dan isu kewarganegaraan yang longgar. “Ketuanan Melayu” dilaungkan oleh pemimpin Melayu pada ketika itu bagi menyatupadukan orang Melayu menentang Malayan Union dan bukannya menuntut kemerdekaan. Oleh itu, konsep ini ialah peristiwa dan reality sejarah pada ketika itu dan ia dimasukkan bukan bertujuan untuk menggugat perpaduan masyarakat Malaysia.
Istilah di atas merupakan penjelasan Kementerian Pendidikan mengenai Ketuanan Melayu. Penjelasan ini dipetik dari blog LKS.
JANGAN sampai kita diperlekeh dan dipermainkan hanya kerana kita tidak  tahu hak sebenar orang Melayu...

No comments: